Sep 14, 2013

Cerpen: Nostalgia Semalam

Teachers Gift Apple Salt Dough Ornament by cookiedoughcreations

Cerpen ini saya tulis untuk pertandingan
sempena Hari Guru di sekolah pada tahun 2013.


Angin bayu bertiup lembut menampar pipinya. Kuntuman bunga sakura juga turut sama menari lalu gugur mewarnai tanah yang berwarna kusam. Dari tempat Zyya melabuhkan punggungnya itu, terdapat satu pemandangan yang sangat menggamit memorinya. Kelipan lampu neon daripada menara komunikasi tertinggi dunia ‘Tokyo Sky Tree’ di Bandar timur, Tokyo melarikan ingatannya kepada menara Eiffel di Paris. Kota Paris, kota suka dan duka baginya.

     ‘Pang.’ Keperitan daripada tamparan maklong itu bagaikan sudah sebati di dalam hidupnya.

     “Hidup kau ni menyusahkan aku betul! Menyesal aku bela kau. Baru umur setahun jagung dah jadi pembuli, gangster. Kau keluar dari rumah aku ni sekarang juga!” merah muka maklongnya menahan marah.

Beg yang sudah penuh berisi pakaiannya dicampakkan ke luar rumah.

     “Mulai sekarang, kau Zyya Adrianna Bella bukan lagi anak buah aku. Kau jangan tunjukkan muka kau lagi di depan aku. Pergi kau, berambus!” jika orang lain, pasti sudah terkesima dan terkedu dengan apa yang berlaku. Tapi, hatinya sudah lama berdetik mengatakan yang hari ini akan muncul jua.

     Bukan Zyya menginginkan dirinya menjadi sebegitu. Setelah ibu bapanya meninggal, dia hidup sebatang kara di kota Paris ini sehinggalah satu-satunya darah daging ibunya disini, mahu menjaganya. Akibat tekanan emosi, dia terjebak dengan anak muda yang sudah rosak akhlaknya. Dia mula melakukan pelbagai masalah disiplin. Daripada seorang pelajar cemerlang, dia menjadi pelajar yang tercorot dari segi akademik dan sahsiah.

   Zyya membawa dirinya ke pondok yang berdekatan. Ketika itu langit yang kelam sedang memuntahkan semua isinya  Matanya tertancap pada bunga-bunga ros yang ditanam di sekeliling pondok itu. Kelopak-kelopak bunga yang layu itu bagaikan hatinya yang pedih menangisi luka lama yang kembali berdarah.

   “Zyya, cikgu dah dengar apa yang berlaku.” Seorang insan yang memulakan bicaranya setelah salam dan khabar dihulurkan.

     Perlahan insan yang  digelarnya guru itu menapak kearah bangku yang diduduki oleh Zyya. Keadaan dirinya yang tidak terurus menjadi santapan sepasang mata kuyu milik wanita itu.
     “Mari kita pulang ke Malaysia, kita mulakan hidup baru ya.” Disusun lembut ayat yang meniti dari bibir wanita itu.

     Habis sahaja bicara wanita itu dituturkan, langsung jatuh mutiara jernih yang sudah lama ditahan di tubir mata Zyya. Sanggup lagi wanita yang berhati luhur ini membelanya. Sudah lupakah segala keperitan yang ditanggung hasil dari perbuatan anak muridnya itu terhadapnya?

     Huluran jemari mulus itu disambut Zyya. Ya, dia harus bangkit. Tiada insan suci tiada masa lampau dan tiada insan berdosa gelap masa depan. Dia harus berhenti meladeni perasaan sendiri. Amanah di bahunya sebagai seorang penuntut ilmu belum lagi dilaksanakan sepenuhnya. Untuk itu, 11A+ pasti menjadi miliknya.

   “Buat apalah tenung Tokyo Sky Tree tu lama-lama. Kalau boleh runtuh menara tu akibat segan, dah lama dah dia menyembah tanah.” Kata-kata yang berbaur usikan itu meniti lembut di pendengarannya.

     Zyya tersenyum memandang raut wajah yang terpancar cahaya sakinah itu. Sungguh tidak terhitung jasa dan pengorbanannya demi seorang anak murid ini. Dialah insan yang menarik tangannya dari lembah kejatuhan dan memimpin hingga berjaya melepasi titian kejayaan.

     Sebuah senyuman dilukiskan di wajahnya. Hari ini dia akan terbang di awan biru untuk pulang ke tanah air setelah berjaya memperoleh Master dalam bidang Technical Engineering di Negara matahari terbit itu. Kejayaan yang dikecapinya hari itu pasti tidak akan dapat dirangkul tanpa guru yang merangkap penjanganya.

Copyright. Evol Amni.

No comments:

Post a Comment

Do not use harsh words please =)